Ulasan Buku : Catatan Fikir 2 Penulis

Ulasan Buku : Catatan Fikir 2 Penulis

Awalnya saya mengira menjadi seorang penulis yang memuntahkan pelbagai cetusan ilham dikepala sangatlah sukar, kerana memerlukan gerak kerja dan memerah otak lebih dalam. Namun selepas membaca buku Catatan Fikir Dua Penulis. Didapati, menulis itu tidaklah sesukar yang mana.

Buku dihadapan pembaca ini ialah gandingan 2 penulis tanah air yang tidak lekang lagi namanya dalam pengkaryaan. Hilal Asyraf dan Ustaz Zahiruddin Zabidi. Menghimpunkan 264 muka surat. Cetakan 1 2015, terbitan Karya Bestari. Catatan Fikir Dua Penulis ini sebenarnya ialah berkaitan pengalaman dari 2 orang penulis yang berkecimpung dalam dunia penulisan. Keduanya menulis pengalaman masing-masing. Di samping bertujuan melatih orang ramai yang giat mahu menulis mengikut panduan yang diberikan. Naskhah ini mengandungi 2 bahagian. Pada Bahagian pertama coretan dari saudara Hilal Asyraf kemudian diikuti bahagian kedua oleh Ustaz Zahiruddin Zabidi.

Bahagian 1

Meminati ilmu penulisan bermula apabila beliau takjub melihat kehadiran dua karya (Hatiku Milikmu & Seindah Mawar Berduri) milik Ustazah Fatimah Syarha laris dan meletop di Pasaran. Padanya, menulis seperti UFS boleh dijadikan platform untuk menyebarkan dakwah. Oleh kerana itu beliau meneruskan hajat menjadi penulis dengan belajar mengarang semasa bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Rendah Islam Ghufran (Sekolah Rendah Islam As-Sidiq) selepas menamatkan SPM. Sehinggalah terhasil buku berjudul Novel Relasi.

Beliau menggunakan kaedah e-mel bagi meluaskan Novelnya sama seperti teknik yang digunakan oleh UFS. Tulisannya mendapat perhatian luas hingga menyebabkan beliau mencetakknya sendiri dirumah. Selain menulis, beliau juga menubuhkan blog yang diberi nama Blog Langit Illahi. Dari situ, beliau menjadi lebih rajin berkarya dan menulis artikel-artikel untuk diterbitkan. Bermula usia 20 tahun beliau telah menulis lebih 25 buah buku Motivasi dan Novel semenjak 2009-2014.

Dapatan dari pengalaman penulis, dapatlah saya rumuskan penulis itu perlu ada ciri-ciri yang disebutkan.

1. Niat. Sebagaimana penulis mengatakan “apabila niat dan matlamat kita tak jelas, maka saat kita sudah bergerak jauh nanti, kala mula datangnya ujian disana sini, kita akan mudah jatuh dan terhenti”. Begitu jugalah dengan menulis. Yang perlu dicari, redha dari illahi.

2. Faham Kekuatan Tulisan. Bermaksud kita menulis bukan dengan cakap-cakap kosong. Tetapi kerana mahu menjiwai hati masyarakat. Contoh karya, Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni, La Tahzan berjaya menjiwai hati pembaca. Bukunya laris di pasaran.

3. Jemput Idea. Idea menulis boleh datang dengan sendiri atau sendiri didatangkan. Ia boleh dicari melalui rujukan dari Al-Qur’an, hadis, sirah, muzik lagu, filem & drama, karya orang lain, isu semasa, pengalaman diri dan mengaplikasikan konsep menjemput idea.

4. Kembangkan idea. Penulis perkenalkan teknik “5 Wives, 1 Husband”.  Where, why, who, when, what, dan how. Kembangkan idea dalam tulisan dengan mengamalkan teknik ini. Contoh bagi artikel non-fiksyen, kisah Nabi Yunus AS. Kisah ini boleh dipecahkan melalui teknik tersebut. Apa, Kenapa, Bila, Dimana, Mengapa, Apa yang Allah firmankan, Apa pengajaran.

5. Minat. Bagi penulis, menulis bukanlah datang dari bakat atau latihan. Tetapi menulis itu kerana minat.

6. Tulis Untuk Saham Akhirat. Menulis sebagai alat untuk membuat bekalan di akhirat kelak.

7. Jadual Dan Displin. Buat jadual menulis mengikut keadaan dan berterusan. Contoh, menulis setiap hari satu muka surat.

8. Ada Blog dan Facebook. Blog dan facebook berperanan menyebarkan manfaat dari tulisan. Melalui komen rakan-rakan maya, kita dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan penulisan agar boleh diberi penambah baikan.

9. Jangan menulis kerana kemasyuran. Penulis mencontohkan ramai penulis menjadi popular kerana menulis sesuatu yang masyur. Hakikatnya mereka ialah penulis yang berdusta atas hadith-hadith Nabi.

10. Istiqomah atau berterusan berkarya.

11. Karya Ada Perjuangan. Buku yang dihasilkan mengangkat fikrah perjuangan. Buku yang membuat pembaca berfikir.

Bahagian 2

Seterusnya beralih pada pengalaman menulis Ustaz Zahiruddin Zabidi. Dorongan menulis beliau datang daripada 4 kenangan dalam hidupnya.

Pertama. Terinspirasi dengan sikap ibunya yang menulis perbelanjaan bulanan dalam buku kira-kira. Menurutnya, ada perkataan yang tersusun indah hingga akhirnya penulis berjaya mencipta sajak sendiri.

Kedua. Menyediakan proposal yang ditulis berkaitan dirinya atas permintaan bakal isterinya sebagai tanda mahu menyuntingnya. Wah !

Ketiga. Penyelenggaraan ke atas jalan rosak ke Cameron Highland bernilai Rm 100,000.00 dilaksanakan hanya kerana artikel yang ditulisnya “Lereng Maut ke Cameron Highland”.

Keempat. Mencungkil ilmu dari Dr. Faisal Tehrani semasa menghadiri Kursus Sijil Penulisan Novel Remaja amjuran ASWARA. Sebagai pembaca yang mengikuti isu semasa, Novel-Novel tulisan Dr. Faisal Tehrani banyak dikritik oleh ilmuan di Malaysia. Buku-bukunya perlu diberi penilaian agar tidak bercanggah dengan kehendak agama. Namun begitu, menurut penulis sumbangannya dalam bidang kesusasteraan tidak wajar dipertikaikan.

Sebagaimana Hilal Asyraf menyenaraikan pengalaman dalam pengkaryaan, demikian juga pengalaman dari Ustaz Zahiruddin Zabidi yang sudah saya ringkaskan.

1. Tujuan menulis. Penulis meletakkan matlamat penulisan harus datang dari 8 Maqasid Nuzul Al-Qur’an, (tulisan Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi).

2. Penulis berpendapat menulis merupakan satu keperluan pada peringkat kehidupan.

3. Model Penulisan Dakwah. Seseorang yang mahu menulis perlu mengetahui bentuk penulisan dan gaya penyampaian yang dikehendaki. Sama ada ilmiah ataupun tidak.

4. Media Sebagai Wasilah Dakwah. Kemajuan teknologi membolehkan tulisan dapat disebarluaskan dalam media elektronik seperti percetakan, recording, radio, wayang, tv, internet, mobile. Sebagai contoh, Novel Ayat-ayat Cinta karya Habiburrahman El-Shirazy dikembangkan menjadi filem. Ini menjadikan tulisan diawalnya hanyalah sebagai Novel, akhirnya berjaya dilakonkan dan difilemkan.

5. Jenis Penulisan Dan Media. Sama ada berbentuk fiksyen (rekaan) seperti puisi, syair, novel, cerpen atau non fiksyen (bukan rekaan) seperti artikel ilmiah dan buku akademik.

6. Penulis baru. Belajar menulis dalam angka 500-600 patah perkataan. Salurkan pada penerbit baik dalam majalah ataupun akhbar. Penulis juga merupakan kolumnis majalah terlaris di Mingguan Wanita pada ketika itu.

7. Faham Sasaran pembaca. 10 tips diberi oleh penulis. Salah satunya buku yang dihasilkan tidak terlalu tebal.

8. Jemput idea. Menurut penulis, idea menulis ada dimana-mana dan pada bila-bila masa.

9. Bina Rangka Penulisan. Memuatkan sumber maklumat dari 4 hal. Al-Qur’an, sunnah, kitab-kitab para ulama. Kajian dan penemuan ilmuan dahulu dan semasa.

10. Gali Sumber Penulisan.

Kegiatan menulis ini sudah menjadi tradisi pada ketika dahulu lagi. Al-Qur’an dan Hadith juga dikembangkan dalam pembukuan. Imam 4 Mazhab berijtihad dalam kitab mereka masing-masing. Kejayaan dirangkul oleh kedua-dua penulis adalah kerana usaha dan matlamat menulis yang jelas. Membaca pengalaman dalam buku ini membolehkan sesiapa saja mahu belajar menulis dari catatan 2 penulis tersohor di tanah air. Termasuklah saya sendiri. Membaca itu mudah. Sekiranya kita tahu teknik menulis itu bagaimana. Masih banyak mutiara yang tersimpan dalam naskhah ini. Tidak dapat untuk saya berkongsi keseluruhan isi.  Melainkan anda mendapatkan buku ini sendiri.

Selamat membaca !


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca