Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi

Ulasan Buku : Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi

Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, buah pena dari penerima Hadiah Sastera Selangor 2017, Iman Danial Hakim dan diterbitkan oleh Jejak Tarbiah Publication. Isi kandungan buku ini dikelas kepada empat entri utama iaitu Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi (yang menjadi tajuk kepada buku), Wacana dan Kembara Buku, Membaca Indonesia dan Ada Apa dengan Buku?.

Di bawah entri Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, penulis berkongsi pengalaman membaca sejak dari kecil lagi, tentang minat beliau terhadap genre buku yang berbeza dalam setiap peringkat umur. Beliau juga bercerita tentang cintanya kepada puisi sehingga membawa beliau kepada pemenang Hadiah Sastera Selangor 2017. Di bawah entri yang pertama ini juga, penulis menyisipkan surat buat pemuda tentang semangat iqra’. Pada saya, ini tulisan yang paling berharga dalam buku ini, tulisan seruan membaca. Surat ini sarat pengisian, bermula dengan luahan kerisauan terhadap umat yang semakin lali dan lalai, kemudian seruan kebangkitan semangat iqra’ dan peringatan untuk tetap merendah diri apabila berpengetahuan.

“Bukan jagung yang patut kita contohi, semakin berisi semakin jegang sebaliknya jadilah seperti padi, semakin berisi semakin tunduk.”

Seterusnya, dalam entri yang kedua; Wacana dan Kembara Buku, penulis berkongsi tentang pengalaman bertemu Encik Solihin Osman, penulis buku kumpulan puisi yang bertajuk Membaca Manusia di UIA, di tempat belajar penulis sendiri! Hal ini sesuatu yang sangat menggembirakan bagi penulis pastinya. Memang, takdir akan mempertemukan kita dengan hal-hal seputar kecintaan seseorang. Kemudian, penulis melanjutkan cerita tentang Hari Malaysia yang penuh makna kerana berpeluang mengikuti program Menjejak Za’ba. Juga tentang perjalanan memburu buku di Banda Aceh yang bermula dengan kesedihan kerana kedai buku yang mahu dituju sudah berpindah premis dan akhirnya dapat membawa pulang enam buah buku puisi!

Masih lagi berkaitan Indonesia, beliau membela Tere Liye, seorang penulis Indonesia terkemuka yang  tidak dikategorikan dalam kelompok sastera dalam entri ketiga; Membaca Indonesia. Dalam entri ini juga, beliau menukilkan kenangan kali pertama mengenali karya Hamka dan nampaknya perkenalan itu berbekas di hati, sehinggakan beliau menulis surat buat Buya Hamka. Ya, sesiapa sahaja yang mengenali karya Hamka, pastinya akan terus jatuh hati dengan lenggok seni bahasanya. Bahasa jiwa. Oh sebelum terlupa, di bahagian ini, penulis ada berkongsi rahsia-rahsia puisi Chairil Anwar. Pencinta puisi pasti dapat memahaminya dengan lancar.

Dalam entri yang terakhir; Ada Apa Dengan Buku, beliau memulakan dengan tips cara bedah buku yang terbaik. Seterusnya, beliau menempatkan beberapa ulasan buku di sini. Buku yang bukan biasa-biasa seperti Ibu Melayu Mengelilingi Dunia oleh Tan Sri Aishah Ghani, Cinta Fansuri oleh A. Samad Said, Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan, Daun oleh Malim Ghazali, Dilema Umat Islam: Antara Hadis Dan Quran oleh Kassim Ahmad, Islam di Barat Muslim di Timur oleh Dr. Zulkifli Hassan, Mandala Dunia Kedua oleh Azizi Haji Abdullah, Anak Apak oleh Subky Abdul Latif, Hujan Pagi oleh A. Samad Said dan Terang Bulan oleh Rahmat Haroun. Boleh dikatakan, penulis ialah pembaca sejati dan berani. Kerana sebahagian buku-buku ini ada yang sukar untuk difahami.

Seperti kata penulis, tiada buku yang sempurna. Buku ini juga. Terdapat banyak kesalahan ejaan yang mengganggu pembacaan saya. Jika buku ini ada cetakan kedua, diharapkan hal ini dapat ditambahbaik.

Buku ini disarankan kepada semua pencinta buku untuk dijadikan bacaan santai namun berisi. Selamat membaca. Semoga bermanfaat.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca