Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Urus Rumah With Hani

Ulasan Buku : Urus Rumah With Hani

“Ada kalanya menguruskan rumah, contohnya dalam menguruskan menu, membersihkan rumah dan merancang kewangan keluarga, ia boleh menjadi sesuatu yang memenatkan. Ia juga dapat menambah tekanan dan akhirnya mampu merosakkan hubungan kekeluargaan jika tidak kena caranya.”

Urus Rumah With Hani yang diterbitkan oleh Puteh Press ini dikenali sebagai buku Marie Kondo Malaysia. Marie Kondo, seorang wanita berasal dari Jepun yang terkenal dengan kaedah Konmarinya dalam seni mengemas rumah dan buku terlaris beliau yang bertajuk The Life-Changing Magic Of Tidying Up.

Buku tentang rumah dan kenapa ia penting? Kerana rumah ialah tempat ahli keluarga berkumpul dan sepatutnya menjadi tempat yang paling aman, selamat dan bahagia untuk didiami. Keadaan rumah dapat mempengaruhi emosi penghuninya. Jika kekemasan rumah terjaga, ahli keluarga pasti lebih suka berada di rumah. Untuk memastikan rumah sentiasa kemas memerlukan kepada perancangan, pengurusan dan teknik mengemas yang baik. Justeru, buku ini dapat membantu kita.

Marie Kondo Malaysia ini ialah Dr. Hani Mynis atau nama sebenarnya Dr. Norhanisah Abdullah, yang sering berkongsi tips mengemas di laman Facebook Susun Atur By Hani Mynis dengan tanda pagarnya #urusrumahwithhani, #kemasrumahwithhani dan #tipshanimasak2. Buku ini mengandungi 247 muka surat dan tiga bahagian penting di dalamnya iaitu Pengurusan Makanan, Pengurusan Pembersihan Rumah dan Pengurusan Kewangan. Isi kandungannya berwarna-warni dengan pelbagai infografik yang tidak membosankan.

Di bahagian Pengurusan Makanan, penulis berkongsi cara merancang menu, pembelian bahan mentah, penyediaan awal bahan masakan dan proses menyediakan hidangan. Penulis juga menyisipkan beberapa tips memilih bahan mentah yang segar, cara penyimpanannya untuk mengekalkan kesegaran setiap jenis bahan mentah dan beberapa resepi pes masakan yang boleh dibuat sendiri dan disimpan lama.

Seterusnya di bahagian kedua iaitu pengurusan pembersihan rumah. Bahagian ini memonopoli lebih separuh daripada keseluruhan muka surat buku. Di sini penulis memuatkan perancangan pembersihan rumah, proses penyisihan barang di setiap ruang rumah, proses pembersihan rapi perabot dan peralatan elektrik, proses susun atur dan proses mengemas. Semuanya diterangkan dengan terperinci berserta tips berguna seperti cara membuat bahan pencuci sendiri, cara menjaga peralatan elektrik dan banyak lagi.

Bahagian akhir sekali ialah Pengurusan Kewangan yang membincangkan tujuh aspek pengurusan kewangan iaitu, analisis kewangan, matlamat kewangan, pengurusan simpanan dan pelaburan, pengurusan perbelanjaan, pengurusan hutang, pengurusan zakat dan pengurusan cukai. Bahagian ini menjadi lebih mudah difahami apabila penulis menyediakan beberapa contoh jadual kewangan serta senarai kategori perbelanjaan seperti di bahagian-bahagian lain juga. Buku ini sangat praktikal.

Sebagai kesimpulan, buku ini sangatlah sesuai dibaca oleh wanita berkerjaya dan suri rumah yang sentiasa mahu mengekalkan kekemasan rumah. Dengan adanya panduan sebegini, wanita berkerjaya mahupun suri rumah dapat mengamalkan cara mengurus rumah dengan lebih efektif dan kurang tekanan. Jemput dapatkan buku ini www.bookcafe.com.my.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca