Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : LGBT Mencari Syurga : Siri Sekuel 1

Ulasan Buku : LGBT Mencari Syurga : Siri Sekuel 1

Tajuk Buku – LGBT MENCARI SYURGA : SIRI SEKUEL 1
Nama Penulis – Noor Syazana
Penerbit – Hamare Publication
Jumlah Mukasurat – 125

Nur Alisya Raihana.

Seorang gadis biasa yang sentiasa mendambakan gelaran wanita solehah layak diberikan kepada dirinya yang serba tak sempurna dan serba berdosa itu. Namun, dia tak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya selalu. Untuk jadi lebih baik dan lebih baik lagi. Bukan dia meminta gelaran itu daripada sang lelaki untuk dipuja, jauh sekali daripada isi dunia yang penuh tipu daya ini, namun, dia hanya mahu Tuhannya menukilkan gelaran wanita solehah itu padanya, di Syurga nanti.

Dalam garis takdir yang telah tertulis, dia dipertemukan dengan golongan yang bernafsu songsang iaitu LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender). Pada mulanya, dia seakan tak percaya dan tak boleh terima kebenaran.

“Kenapa aku ‘dicampakkan’ di tempat yang ada golongan sebegini?”

“Kenapa aku yang kena dekati mereka yang berdosa ini?”

“Macam mana nak jadi solehah kalau aku bergaul dengan orang macam ni?”

Pelbagai soalan mula menembak benak fikirannya. Namun, satu persatu hikmah mula mendatangi dirinya. Hati yang dulunya memberontak sendiri kini mula lembut untuk menerima dan memandang dengan hikmah.

Itu antara ringkasan kisah di dalam buku ini. Ia juga merupakan inspirasi kisah benar penulis sendiri yang pernah bersama dengan komuniti LGBT ini. Dengan adanya buku ini, ia dapat membuka pengetahuan diri untuk sedar dan cakna berkenaan isu global yang berkait dengan LGBT dan beberapa masalah sosial yang kian rancak muncul bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan, khususnya di bumi Malaysia ini.

“Sangka mereka, itu adalah nikmat. Itu adalah Syurga. Namun, sebaliknya yang mereka dapat. Mudarat hingga tak larat. Tersalah Syurga rupanya.”

“Jika kau turuti permintaan nafsu, keharaman yang lain akan ia minta daripadamu.”

“Mangsa tertinggi HIV adalah golongan Gay.”

Antara perkara utama yang ditekankan oleh penulis dalam memberi pendedahan berkaitan isu LGBT ini adalah konsep 3M iaitu Mengenali, Menghadapi dan Mencegah. Siri Sekuel 1 ini khusus menerangkan tentang pengenalan LGBT. Penulis juga berjaya membetulkan persepsi negatif pembaca kepada institusi agama terhadap tindakan kepada komuniti sebegini kerana penulis menerangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan termasuklah mendekati dan memulihkan komuniti sebegini. Amat disarankan untuk membaca buku ini kepada semua golongan khususnya golongan remaja kerana anak-anak muda kini sudah mula terjebak dengan gejala nafsu songsang yang mampu mengundang laknat ini.

Ulasan buku oleh : Sakinah Binti Shahrum


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca