Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Untuk Kita Pendosa, 30 Hari Mencari Tuhan

Ulasan Buku : Untuk Kita Pendosa, 30 Hari Mencari Tuhan

Jika engkau seorang pendusta, engkau juga seorang pendosa. Maha Pengasih juga Maha Penyayang. Tidaklah hina seorang hamba kerana menangis bersujud meminta sinar dalam hidupnya. Hidup cuma sementara, akhirat kekal selamanya. Maka semailah benih cinta untuk meraih redha yang Esa. Tidak kamu merasakan rugi, apabila cinta itu dipandang olehNya. Ikhlaskan hati dan suburkan taqwa wahai seorang pendosa”.

Itulah lumrah hidup sebagai seorang pendosa, Acapkali, sering alpha dan leka dalam mengatur hidup sebagai seorang hamba kepadaNya. Kita disibukkan dengan urusan duniawi sehingga terlupa tanggungjawab kepada ukhrawi. Sehingga tidak ada masa untuk bermuhasabah diri. Sedang rezeki itu tuhan yang bagi. Ikhlas dariku “Untuk Kita Pendosa: 30 Hari Mencari Tuhan”.

“ Wahai Hati Istighfarlah !”.

Mukkadimah Buku

Untuk pendosa: 30 Hari Mencari Tuhan adalah tajuk sebuah buku tulisan seorang penulis terkenal yang telah menulis lebih 20 buah buku best-seller. Hilal Asyraf  menterjemahkan idea beliau dalam membentuk sebuah tulisan yang sangat penting untuk dibaca dan difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Melihat kepada tajuk buku ini, jelas bahawa penulis ingin mengajak dan membawa semua pembaca untuk melalui sebuah perjalanan yang singkat supaya dapat menjentik secebis iman didalam hati untuk disemai setelah 30 hari mengharungi sebuah perjalanan yang sangat bernilai.

Penulis juga ada memberi signal yang sangat penting buat semua pembaca bahawa tajuk yang dipilih oleh beliau bukanlah bermaksud dengan hanya tiga puluh hari sahaja kita sudah mengenal tuhan, dan bukanlah dengan hanya tiga puluh hari kita dapat bertemu tuhan, tetapi penting untuk diteliti bahawa mesej yang cuba untuk penulis sampaikan adalah bagaimana untuk kita mengatur kehidupan yang seimbang baik dari sudut duniawi dan ukhrawi itu sendiri. Bukan itu sahaja, penulis juga memainkan peranan yang sangat penting dalam menerangkan kesan dan punca kepada masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat secara umumnya. Diselitkan juga dengan solusi yang boleh digunapakai dalam kehidupan. Suka untuk saya selitkan satu petikan ayat dari penulis yang sangat memberi inspirasi kepada pembaca untuk dijadikan buah fikiran setiap daripada kita berfikir dan berzikir. Beliau berkata,

“Allah bukanlah Tuhan yang hanya wujud pda waktu subuh, zuhur, asar, magrib dan isyak. Allah s.w.t bukan Tuhan hanya pada bulan Ramadan. Allah s.w.t juga bukan hanya Tuhan di Makkah dan Madinah. Dia adalah pemilik semesta alam, dan segala apa yang ada didalamnya berada dalam kekuasaan-Nya. Dia tidak lalai dan leka, tidak mengantuk dan tidur, tidak penat dan letih. Maha Mendengat, Maha Mengetahui, Maha Melihat, Maha Berkuasa atas segala-galanya”. –Hilal Asyraf, Untuk Kita Pendosa: 30 Hari Mencari Tuhan, m/s 11.

Isi Kandungan

Maka, buku ini telah dicetak dengan 248 halaman dan isi yang telah ditulis didalam buku ini pula dibahagikan kepada tiga puluh bab iaitu simbolik kepada tajuk buku tersebut. Sebelas bab yang pertama, penulis mengajak kita untuk kembali semula kepada perkara dasar iaitu mengenal tuhan dengan memahami sifat-Nya. Seterusnya, di bab yang ke dua belas hingga ke bab dua puluh empat, penulis melebarkan penanya untuk mengajak pembaca menghayati kekuasaan dan kebesaran-Nya. Namun, diakhir penulisan buku ini, penulis menyeru kepada pembaca untuk menyahut seruan-Nya dalam konteks beriman, bertaqwa, bersabar, dan bersyukur kepada Allah SWT. Menarik untuk sama-sama kita menyusuri perjalanan penulis dalam mencorakkan idea beliau untuk mengajak kita semua mengenal Tuhan yang Esa.

 

Sasaran Pembaca

Buku ini sangat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja dan dewasa. Kepada insan yang inginkan nilai tambah dalam kemanisan iman, kekhusyukan ibadah, dan kehidupan. Wajib untuk mereka dapatkan resepi dan idea terbaik dari seorang penulis yang hebat ini. Semoga Allah Redha.

 

Pandangan Al Faqir

Buku ini sangat sesuai dibaca oleh seseorang yang inginkan perubahan dalam diri mereka. Sarat dengan isi yang memberikan inspirasi kepada mereka yang sedang mengalami kemurungan akibat daripada dosa yang telah mereka lakukan. Tidak dilupakan peranan ayat Al Quran didalam buku ini yang senantiasa memberikan ketenangan dan meningkatkan kadar keimanan seorang pembaca. Ayat dan cara penulisan juga sangat mudah untuk kita masyarakat awam untuk menilai dan menghadam setiap daripada mesej yang hendak disampaikan oleh penulis. Cerita motivasi, kata-kata hikmah yang diselitkan juga sangat memberi kesan terhadap seketul hati yang membacanya.

Penyusunan dan pengagihan bab didalam buku ini juga dilihat menjadi faktor yang sangat penting untuk pembaca faham ketika membaca buku tersebut. Bermula daripada proses mengenal Tuhan sehinggalah tuntunan dan seruan daripada-Nya. Maka kita akan dapati bahawa pembacaan kita sebenarnya adalah sebuah perjalanan untuk menuju kepada sebuah nafas baru dalam kehidupan harian kita. Mungkin kita merasakan hidup kita sudah berada dilandasan yang sebenar, tetapi buku ini juga dapat menjadi agen semak dan imbang dalam aktiviti harian hidup kita.

Kepuasan yang kita akan dapat apabila membaca dan menghadam buku ini adalah apabila kita melihat perubahan yang berlaku dalam kehidupan harian kita. Sebagai contoh, kita sering melengehkan hak kefardhuan seperti solat. Maka, kita akan mula gelisah akan perbuatan kita kerana kita sedar dan maklum bahawa Tuhan itu sentiasa ada dan bukan hanya ada apabila menunaikan solat sahaja. Samalah situasinya apabila kita sedang ghairah melakukan dosa. Sebelum ini kita tidak merasai kehadiran tuhan dalam hidup kita. Setelah diberi kefahaman dan kesedaran melalui pembacaan ini, kepuasan yang kita akan nikmati apabila kita mula merasakan jijik untuk melakukan dosa disebabkan oleh adanya yang Maha Esa.

Akhir kalam, semoga buku ini dapat memberi sedikit motivasi kepada semua pembaca. Mohon maaf atas kekhilafan diri ini sepanjang pengulasan buku ini dibuat. Semoga bermanfaat buat semua. Mohon setangkai doa buat diri ini supaya diberi kekuatan dan istiqamah untuk meraih redha-Nya.

 

Diulas oleh: Muhammad Afiq Bin Kamil Nasuruddin


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca