Ulasan Buku : Tarbiah Dzatiah

Ulasan Buku : Tarbiah Dzatiah

Sebuah buku yang ditulis oleh seorang ahli perubatan yang berhasrat untuk menjadi doktor yang boleh merawat jiwa dari luaran dan juga dalaman diri manusia. Maka, buku ini diperkenalkan oleh penulis sebagai medium untuk membangunkan jiwa ummah. Beliau Musyirah Hanan binti Zulkarnain, dilahirkan di Kuala Besut, Kuala Terengganu pada 6 Oktober 1990. Beliau merupakan pelajar bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir ketika menghasilkan buku ini pada tahun 2014 yang diterbitkan oleh Iman Publications. Beliau juga seorang aktivis sukarelawan sebagai belia Aqsa Syarif di Mesir dan juga persatuan-persatuan yang lain.

Berbalik kepada tajuk buku iaitu Tarbiah Dzatiah. Mungkin ada yang kali pertama mengenalinya, ada yang pernah mempelajarinya dan mungkin ada mereka yang sudah mengamalkannya. Tarbiah dzatiah ini sangat terkenal dalam kalangan mereka yang menyertai usrah atau digelar sebagai geng bulatan gembira kerana tarbiah dzatiah inilah yang selalu ditekankan oleh murabbi atau naqib dalam halaqah tersebut. Tanpanya, kita pasti rapuh. Jiwa kita pasti lemah dan layu. Bagaimana, pokok hidup memerlukan air, begitulah jiwa kita hidup dengan memerlukan siraman tarbiah. Tarbiah dzatiah ialah titik kekuatan hubungan kita dengan Allah SWT.

Penulis memulakan karyanya dengan definisi tarbiah secara umum terlebih dahulu sebelum diperincikan kepada tarbiah dzatiah. Tarbiah ialah didikan yang mendidik seseorang dengan nilai-nilai Islam sehingga mempengaruhi akalnya, hatinya serta seluruh anggota badan dengan hasil tingkah laku yang lebih baik. Tarbiah ini berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah serta manhajnya. Dalam buku ini, tarbiah terbahagi kepada tiga bahagian: Tarbiah Fardiah, Tarbiah Jama’iah dan Tarbiah Dzatiah.

Tarbiah Fardiah: Tarbiah perseorangan antara seorang murabbi kepada mutarabbi atau guru kepada murid.

Tarbiah Jama‘iah: Tarbiah secara berkumpulan seperti liqa, usrah, daurah dan sebagainya.

Tarbiah Dzatiah: Tarbiah seseorang terhadap dirinya sendiri dengan pelbagai cara dan bentuk.

Dalam erti kata lain, tarbiah dzatiah ialah kita mendisiplinkan diri sendiri untuk melakukan taat kepada Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya ketika bersendirian. Penulis ini juga menerangkan cara-cara pelaksanaan tarbiah dzatiah secara jelas dan memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Penerangan yang disokong dengan dalil-dalil ayat suci Al-Quran, hadis serta petikan-petikan daripada rujukan muktabar kitab-kitab para alim ulama yang lain.

Antara kaedah-kaedah dalam tarbiah dzatiah yang dibincangkan secara jelas oleh penulis ialah topik muhasabah diri, taubat, istighfar, zikir, sedekah, membaca Al-Quran, qiamullail, berdoa dan sebagainya. Tarbiah dzatiah inilah yang mendidik jiwa kita agar sentiasa dekat kepada Allah SWT ketika bersendirian tanpa pengawasan murabbi atau guru. Mempelajari tarbiah dzatiah ini sangat penting agar kita tahu jalan-jalan mendekatkan diri kepada Allah dengan betul dan ibadah yang dilakukan ialah ibadah yang sahih.

Pentingnya pelaksanaan tarbiah dzatiah untuk mentarbiah diri kita sendiri sebelum mentarbiah orang lain. Pentingnya tarbiah dzatiah kerana hari hisab di akhirat kelak adalah bersifat individual. Segala buku amalan kita akan dibentangkan semuanya. Pentingnya tarbiah dzatiah sebagai jalan untuk tsabat dan istiqamah dalam beramal ketaatan. Pentingnya tarbiah dzatiah sebagai bekalan diri atau mutabaah amal yang dilakukan ketika bersendirian. Ini kerana dalam 24 jam, kita banyak meluangkan masa untuk diri sendiri daripada orang lain. Mereka yang berjaya mengamalkan tarbiah dzatiah ialah insan yang hebat kerana mampu beramal tanpa arahan atau suruhan orang lain. Mereka ini gagah bangun malam untuk melaksanakan qiam kerana hasil disiplinnya dalam tarbiah dzatiah itu tadi. Boleh dikatakan buku ini ialah buku yang perlu dimiliki oleh setiap individu muslim dalam memperbaiki kualiti diri dan menghidupkan semangat peduli kepada diri sendiri untuk menuju ke arah yang lebih baik.

“Tarbiah Dzatiah ke arah pembinaan diri lebih cemerlang” – Musyirah Zulkarnain


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca