Ulasan Buku : Sebelum dan Sesudah Ijab & Kabul Perspektif Undang-undang

‘Sebelum dan Sesudah Ijab & Kabul Perspektif Undang-Undang’. Sewaktu membaca buku ini ramai yang bertanya adakah saya sudah hendak berkahwin? Nampaknya, ramai yang sekadar fokus kepada perkataan ijab dan kabul sehingga tidak perasan fokus yang ingin diketengahkan penulis ialah undang-undang. Berdasarkan pengalaman latihan industri di Pejabat Agama Islam Daerah, saya melihat masih ramai Muslim yang kurang arif dalam ilmu perundangan keluarga Islam walaupun perkara yang asas. Justeru buku hasil tulisan Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia) dan Profesor Madya Dr.Nurhidayah Muhammad Hashim (Pensyarah Undang-undang Keluarga Islam) terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad ini amatlah berguna untuk dijadikan rujukan.

Buku ini merupakan sebuah buku ilmiah yang tidak terlalu berat bacaannya dan sesuai untuk semua masyarakat awam memahami perundangan kekeluargaan Islam di Malaysia dan perundangan Syariah untuk orang Islam di negara ini seiring dengan tujuan penulis menerbitkan bahan bacaan ini. Terutama sekali bagi pasangan yang mahu dan sudah berkahwin.

             Awal bab buku ini, penulis membincangkan mengenai persediaan di awal perkahwinan seperti had-had umur yang dibenarkan berkahwin, isu putus tunang serta tuntutan-tuntutan yang boleh dilakukan dan masalah mencari wali. Pernah suatu ketika berlaku kes di mana pihak lelaki telah memutuskan pertunangan tanpa alasan yang munasabah, lalu pihak perempuan menuntut ganti rugi sebanyak RM9,677 yang telah digunakan untuk persediaan majlis perkahwinan dan tuntutan ganti rugi keaiban dan rasa malu sebanyak RM200,000. Begitu juga isu pencarian wali. Kita sedia maklum bahawa isu wali bukanlah perkara yang remeh kerana ia melibatkan hukum agama. Tersilap cara boleh jadi perkahwinan menjadi tidak sah dan terbatal.

            Pada pertengahan bab, penulis mengetengahkan tentang hubungan dan hak pasangan. Misalnya, hak isteri sekiranya didera, dipoligami dan juga hak harta sepencarian. Apa-apa yang berkaitan dengan pembelian harta selepas berkahwin, ataupun harta yang` telah sedia ada sebelum berkahwin, tetapi dikembangkan selepas berkahwin adalah boleh dikategorikan sebagai harta sepencarian. Persoalannya sekiranya berlaku perceraian antara pasangan, siapakah yang mempunyai harta tersebut? Seterusnya, disentuh juga mengenai masalah dalam perkahwinan seperti jenis-jenis perceraian, talaq dan kesan perkahwinan antarabangsa. Contohnya perceraian melalui  SMS dan kesannya ke atas rumah tangga.

            Pengakhiran bab buku ini, ditekankan pula isu nafkah anak selepas cerai dan kedudukan anak luar nikah. Seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Selangor 2003 memperuntukkan bahawa, seorang anak yang dilahirkan sebelum daripada tempoh perkahwinan ataupun dilahirkan dalam tempoh perkahwinan tetapi kurang daripada enam bulan adalah dianggap sebagai anak tak sah taraf. Di samping itu, jika berlaku kematian bagaimana ingin menguruskan harta dengan hikmah. Ramai yang lupa atau tidak tahu bahawa wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris yang layak menerima faraid melainkan semuanya bersetuju dengan wasiat tersebut. Namun wasiat itu boleh menjadi tidak sah jika ada yang mencabar kesahihan wasiat tersebut.

            Sebagai kesimpulan, saya yakin buku ini mampu membuka minda dan memberi penjelasan serba sedikit mengenai undang-undang keluarga Islam kepada masyarakat awam khususnya. Oleh itu, digalakkan untuk membaca buku ini demi membina Baitul Muslim yang sakinah, mawaddah dan rahmah.

 

Diulas oleh : Filzah binti Jabaruddin


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Filzah Jabaruddin
Filzah Jabaruddin
Articles: 1