Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Penyelamat Daripada Kesesatan

Ulasan Buku : Penyelamat Daripada Kesesatan

Buku Penyelamat Dari Kesesatan adalah sebuah terjemahan karya Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali rahimahullah (1058-1111 M) dengan judul asal المُنْقِذ مِنَ الضَّلَال . Kemasyhuran beliau tidak perlu dijelaskan lagi. Magnum opusnya, Ihya’ Ulumuddin merupakan antara buku yang wajib dijumpai di mana-mana perpustakaan atau kedai buku di celahan dunia yang mana sekalipun dan masih dibaca sehingga kini sejak zaman-berzaman. Saya percaya penterjemah-penterjemah buku ini telah melaksanakan tugas mereka dengan baik sekali kerana saya dapati buku ini mudah sekali untuk difahamkan lantaran laras bahasanya yang sederhana.

Buku ini terdiri daripada 8 bab yang dikupas dengan cermat sekali. Tinggal lagi, tidak terdaya saya untuk membahaskannya satu persatu. Tambahan pula, bukan keseluruhan buku ini dapat saya hadamkan dengan baik oleh beberapa sebab yang akan saya nyatakan di akhir penulisan ini. Oleh itu, saya hanya akan membahagikan ulasan buku ini kepada 3 bahagian utama :

1)Rumusan mengikut kefahaman dan ingatan saya yang terbatas mengenai beberapa isi menarik yang telah Imam Ghazali utarakan.

2)Metode penulisan Imam Ghazali.

3)Cadangan penambah baikan kepada pihak penerbit.

RUMUSAN ISI MENARIK

Di bahagian awal buku ini, Imam Ghazali ada menyebutkan tentang 2 golongan yang berbahaya dalam menanggapi ilmu matematik. Imam Ghazali membahaskan perkara ini kerana matematik juga merupakan cabang kepada ilmu falsafah.

a)Golongan pertama adalah yang terlalu takjub dan terpesona dengan kehebatan, ketepatan dan kebenaran ilmu matematik. Oleh kerana mereka terlalu taksub dengan kebenaran matematik, lalu mereka menyangka bahawa pelopor-pelopornya yang terdiri daripada orang kafir juga pasti benar dalam hal agama. Menurut mereka, orang yang begitu tepat dalam ilmu matematik mustahil akan tersilap dalam perkiraan ilmu agama. Sedangkan, kepakaran mereka dalam ilmu matematik langsung tidak menjamin kebenaran mereka dalam hal ehwal agama. Lalu, jadilah golongan pentaksub ini kufur kerana terlalu taksub mengikutkan pelopornya yang kafir.

b)Golongan kedua adalah yang menolak terus ilmu matematik lantaran dipelopori oleh bukan Islam. Imam Ghazali menyifatkan golongan ini sebagai “lemah akal” dan di bahagian lain sebagai “kemuncak kesesatan” kerana sesuatu itu bukan ditentukan kebenarannya melalui orang yang menyampaikan, akan tetapi melalui hakikat sesuatu itu sendiri. Antara contoh mudah (dalam bab lain, tetapi isu yang sama) yang Imam Ghazali ketengahkan adalah, apabila datang kepada kita seorang Kristien lalu mengatakan : Tiada tuhan selain Allah, Nabi Isa itu pesuruh Allah. Adakah kita tetap akan mendustakan kata-katanya hanya disebabkan dia adalah seorang kafir sekali pun kata-katanya itu benar? Sudah pasti tidak! Samalah halnya dalam isu ilmu matematik ini. Ilmu matematik tidak patut ditolak terus semata-mata kerana pelopor-pelopornya adalah orang kafir. Bahkan, menurut Imam Ghazali, golongan seperti ini akan menyebabkan Islam kelihatan mundur.

Selain itu Imam Ghazali juga mempertahankan ilmu mantiq. Ilmu mantiq bukanlah tokok tambah dalam agama. Bahkan ia tiada kaitan pun dengan agama. Sebagai contoh, ilmu mantiq membahaskan setiap A adalah B, maka sebahagian B adalah A. Seperti setiap manusia adalah haiwan, maka sebahagian haiwan adalah manusia. Nah, bagaimana hal seperti ini boleh dikatakan tokok tambah dalam agama?

METODE PENULISAN

Dalam penulisan buku ini, saya dapati Imam Ghazali banyak gunakan :

a)Analogi

Imam Ghazali banyak sekali menggunakan analogi untuk memudahkan kefahaman pembaca. Sementelahan, dalam kaedah pembuktian dan menjawab syubhah juga digunakan metode analogi. Sebagai contoh, dalam melarang orang awam selain orang yang berkeahlian terlibat dengan perbahasan Khulqiyyah (akhlak yang diambil dari ahli tasawwuf tapi dicampurkan falsafah), Imam Ghazali menggunakan analogi tidak boleh bermain dengan ular melainkan pawang ular dan tidak boleh memasukkan tangan dalam uncang wang yang bercampur syilling sebenar dan syilling tiruan melainkan pengurup wang.

b)Kaedah soal jawab

Kaedah ini saya dapati sangat baik kerana ia akan menjurus kepada isi secara tuntas dan memudahkan kefahaman. Seperti, sekiranya si fulan katakan “sekian, sekian, sekian”, maka jawablah “sekian, sekian, sekian”.

CADANGAN PENAMBAH BAIKAN

Sebenarnya, kitab-kitab seperti ini biasanya dibaca secara talaqqi dihadapan tuan guru yang akan mensyarahkan kitab huruf demi huruf. Membaca secara langsung begini menyebabkan sedikit sukar difahami, maka saya cadangkan penambah baikan seperti berikut :

a)Banyakkan hasyiah (nota kaki)

Ini kerana Imam Ghazali menulis karya ini berdasarkan waqi’i zamannya yang tidak memungkin kita memahami kitab ini melainkan terlebih dahulu menelusuri latar belakang penulisan ini. Istilah-istilah seperti Ikhwan al-Safa, Mazhab Ta’limiiyyah dsb sangat memerlukan penerangan lanjut. Selain itu, Imam Ghazali banyak juga menyebutkan nama-nama kitabnya yang lain seperti al-Qistas al-Mustaqim, Tahafut al-Falasifah dll untuk menjawab syubhah-syubhah tanpa menaqalkan semula isi-isinya. Adalah amat baik jika isi-isinya tersebut dapat dirumuskan dan dinyatakan terus dalam nota kaki-nota kaki.

b)Tambahkan syarahan

Oleh kerana kitab ini adalah terjemahan langsung dari bahasa Arab, maka saya dapati banyak dhamir-dhamir (kata ganti) yang tergantung. Seperti perkataan “itu”, “ini” dan “mereka” yang kadang-kadang menyukarkan pembaca untuk kembalikan kepada siapa.

Ala kulli hal, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada pihak penerbit kerana sudi menterjemahkan karya yang sangat bermanfaat. Tanpa usaha ini, entah bila agaknya saya direzekikan mengkhatamkan karya Imam Ghazali. Semoga pihak penerbit terus istiqamah menterjemahkan kitab-kitab Imam Ghazali dan ulamak Islam yang lain.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca