Ulasan Buku : Nabi Luth Melawan LGBT, Nabi Syuib Melawan Kapitalis dan Kisah-Kisah Lain.

Ulasan Buku : Nabi Luth Melawan LGBT, Nabi Syuib Melawan Kapitalis dan Kisah-Kisah Lain.

Banyak peninggalan berupa bangunan dan binaan ‘gah’ daripada umat atau kaum terdahulu yang dilaknat Allah ta’ala disebabkan azab ditimpakan kerana ingkar terhadap suruhan para Nabi Allah. Dunia telah ditinggalkan dengan bekas binaan tamadun dahulu untuk diperlihatkan kepada manusia sebagai bukti kewujudan zaman kegemilangan, kemajuan, keruntuhan pada ketika itu.

Mengenai Buku.

Judul buku yang ada dihadapan para pembaca merupakan karya kedua saudara Syed Azharul Asriq selepas buku ‘Siput Yang Mengubah Sejarah’ iaitu ‘Nabi Luth Melawan LGBT, Nabi Syuaib Melawan Kapitalis, dan Kisah-Kisah lain’. Kedua-dua buku beliau diterbitkan oleh Mustread SDN.BHD. Buku kedua ini juga sudah diulang cetak kali ketiga, bermakna sambutan terhadap karya penulis sangat memberangsangkan. Menampilkan 152 muka surat. Memuatkan banyak cetakan gambar, membawa kita berkenalan terhadap tinggalan binaan berusia ribuan tahun. Disini, saya akan menghuraikan sejarah silam sesetengah riwayat para Nabi dan kisah lainnya seperti yang telah dinyatakan. Serta beberapa binaan peninggalan sejarah dijadikan pusat khazanah diseluruh dunia.

Isi Kandungan.

1) Kisah Nabi Nuh.

Nabi Nuh diutuskan kepada kaum yang menyembah berhala dan monumen nenek moyang atau lebih tepat istilahnya ‘Saint-Worship’. Memuja orang soleh selepas mati, membuat patung menyerupai individu tersebut dan akhirnya disembah. Antara patung sesembahan mereka ialah Wadda, Suwa’an, Yaghuts, Ya’uq dan Nasra. Lokasi Nabi Nuh berdakwah terletak di Mesopotamia (diantara Sungai Tigris dan Sungai Furat) sekitar 5000 tahun dahulu. Allah ta’ala memerintahkan Nabi Nuh membina bahtera/kapal dan mengajak orang-orang beriman termasuk macam jenis binatang dan haiwan untuk dibawa belayar bersama kecuali mereka yang ingkar kerana Allah hendak menimpahkan azab berupa banjir besar sebagai balasan tidak mengikuti suruhan Nabi Nuh. Menurut seorang pengembara abad ke-13 Marco Polo, terdapat fosil bahtera atau tinggalan kapal Nabi Nuh di temui diatas Pergunungan Ararat, diantara sempadan Turki dan Rusia. Ketika menggembara disekitar Pergunungan Ararat, tinggalan kapal Nabi Nuh boleh dilihat begitu jelas dari atas langit. Bahkan terdapat gambaran binaan kapal Nabi Nuh terkandung didalam naskhah ini.

2) Kisah Nabi Hud.

Nabi Hud diutus kepada kaum ‘Ad di Al-Ahqaf, antara Hadramaut dan Yaman di Oman sekitar 4000 tahun lalu. Kaum ‘Ad berbangsa Arab ini digelar sebagai kaum Iram disebabkan kehebatan membina iram atau tiang-tiang tinggi, menara, dan rumah mewah serta ekonomi yang serba maju. Tetapi mereka bersikap kejam dan zalim terhadap masyarakat dan kawasan ditakhluk. Mereka juga menyembah berhala menyebabkan Allah menurunkan bala berupa angin ribut yang kencang selama 7 hari 8 malam sehingga mayat-mayat bergelimpangan kerana mati ditiup angin. Pada tahun 1995 seorang ahli arkeologi, Nicholas Clapp menemui Kota Ubar yang tenggelam di Padang Pasir Oman mempunyai ciri-ciri tinggalan menara ribuan tahun sama seperti kaum ‘Ad. Menurutnya, Kota Ubar itulah Kota Iram, kaum ‘Ad.

3) Kisah Nabi Soleh.

Nabi Soleh diutus kepada kaum Tsamud di Madain Soleh, Arab Saudi sekitar 4000 tahun lalu. Kaum Tsamud enggan menyembah Allah sebagai Tuhan dan membunuh unta, mukjizat yang diberi kepada Nabi Soleh. Allah menurunkan azab berupa suara dari langit yang menggegarkan bumi sehingga mati disebabkan kesakitan mendengarkan suara azab itu. Kaum Tsamud memiliki kelebihan luar biasa. Tangan mereka kuat mengukir dan memahat sehingga terbinalah bangunan-bangunan tinggi hasil ukiran dari batu-batu keras. Namun, mereka sombong dan angkuh atas kelebihan yang dikurniakan sehingga Negeri itu ditimpa bencana yang besar. Tinggalan ukiran bangunan batu-batuan di Al-Hijr, Madain Soleh Arab Saudi dari kaum Tsamud masih wujud dan kukuh membuktikan bahawa mereka cukup gagah dan hebat sehingga digelar ‘kaum arkitek’.

4) Kisah Nabi Luth.

Nabi Luth diutus kepada kaum yang tinggal di Kota Sadum yakni dikawasan Laut Mati sempadan antara Israel dan Jordan sekitar 4000 tahun yang lalu. Dugaan yang cukup besar apabila Nabi Luth diperintahkan berdakwah pada kaum yang mengamalkan hubungan sonsang dan sejenis atau LGBT (Lesbian, Gay, Bisexsual, Transeksual).  Mereka tidak mahu menerima amaran keras Nabi Luth. Kerana sikap tidak bermoral dan menjijikkan, Allah ta’ala menterbalikkan Kota Sadum dan batu-batu dari langit turun menghempap sehingga kaum Nabi Luth terseksa dan mati. Menurut sebahagian ahli sejarahwan, tinggalan kaum Nabi Luth telah lenyap tenggelam di Laut Mati. Terdapat sebuah struktur batu disekitar laut mati (Lot’s Wife) dikatakan ianya isteri Nabi Luth yang telah disumpah kerana kufur. Namun sejauh manakah kebenaran ini? hanya Allah saja yang maha mengetahui.

5) Kisah Nabi Syuaib.

Nabi Syuaib diutus kepada kaum Madyan dan Aikah di Persisiran Laut Merah berhampiran Gunung Sinai, Mesir sekitar 3600 tahun lalu. Kedua-dua kaum tersebut culas berniaga dengan tidak adil mengurangi timbangan demi mengaut keuntungan. Kaum Madyan dibinasakan oleh gempa dan pekikan dasyat dari langit. Awan pekat kehitaman disangkakan membawa hujan rupanya angin panas membakar jasad kaum Aikah. Peninggalan dari peristiwa dasyat tersebut hanyalah makam Nabi Syuaib di bandar Al-Salt, kira-kira 40km dari bandar Amman Jordan.

6) Kisah Qarun.

Qarun hidup dizaman Nabi Musa. Qarun seorang yang kaya raya dan banyak harta. Namun dia angkuh serta suka menunjukkan kekayaan pada orang ramai sehingga menjadi takabbur. Allah menenggelamkan Qarun bersama harta dan rumah megahnya. Qasr Qarun, diwilayah Fayyuom Mesir, 80km dari bandar Kaherah merupakan tinggalan bangunan purba Istana Qarun.

7) Kisah Yahudi Disumpah Menjadi Kera.

Kaum Nelayan yahudi pengikut syariat Nabi Musa tinggal dipersisiran pantai. Laut menjadi tempat mencari sumber makanan melalui tangkapan ikan. Hari Sabtu dijadikan hari khusus beribadat kepada Tuhan. Tidak boleh ada tangkapan ikan. Setiap hari sabtu pula, ikan timbul begitu banyak sekali. Namun kerana tiada kesabaran atas ‘kekayaan’ dihadapan mata mereka melanggar perintah sehingga disumpah menjadi kera. Lihat dalam surah Al-‘Araf ayat 165-166.

8) Kisah Nabi Yunus.

Kisah yang saya rasa, semua pasti tahu. Kisah Nabi Yunus sinonim dengan Ikan Nun. Nabi Yunus diutus kepada kaumnya di Kota Ninevah, Mosul Iraq. Kaum Nabi Yunus kaum yang hampir diazab oleh Allah ta’ala kerana hendak meninggalkan ajaran Nabi Yunus. Mereka sempat bertaubat setelah tiba-tiba melihat kegelapan langit. Nabi Yunus meninggalkan kaumnya tanpa mengetahui kaumnya sudah pun kembali ke pangkal jalan. Allah menegur perbuatan Nabi Yunus dengan membuat ikan Nun menelannya ketika belayar dilautan. Sepanjang berada dalam perut ikan, Nabi Yunus tidak berhenti melafazkan doa ‘lailaha illah anta Subhanaka inni Kuntu Minazzolimin’ (Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.) Kerana zikir dan taubat, Allah telah melepaskan Nabi Yunus dari perut ikan Nun. Rujuk surah al-Anbiya’ ayat 87. Dikatakan terdapat Tinggalan dari sejarah Nabi Yunus berupa Masjid Nabi Yunus di bukit Tell, Mosul hancur dibom oleh ISIS pada 4 julai 2014. Gerbang kota Mishqi lambang kemegahan negara itu, hanya tinggal bekas rekahan akibat kebiadapan ISIS.

9) Kisah 7 Pemuda Tidur di dalam Gua Selama 309 Tahun.

7 pemuda kaum Rom beragama Nasrani dikatakan melarikan diri dari kezaliman dan penyeksaan yang dilakukan kerajaan Rom. Mereka bersembunyi di sebuah gua bersama seekor anjing sehingga tertidur. Tanpa disedari, Allah telah menidurkan mereka selama 309 tahun. Gua itu dinamakan sebagai Al-Kahfi terletak di Amman Jordan. Sehingga kini masih menjadi tempat kunjungan orang ramai. Manakala terdapat batu bersurat disebut Ar-Raqim dititahkan oleh seorang maharaja ketika itu supaya kisah mereka dipahat menjadi ikhtibar seperti yang tertera dalam Al-Qur’an, surah al-Kahfi ayat 9.

Demikian sebuah catatan ‘pengembaraan’ ringkas dari saya yang telah membaca naskhah ini. Begitu gerun tatkala melihat dan mendengar kisah manusia yang pernah diazab dimuka bumi yang sama tempat kita berpijak. Tempat bersejarah menyimpan seribu satu peristiwa yang mengajar manusia berfikir akan kekuasaan, kekuatan Allah menimpahkan bala bencana pada yang ingkar sebagai peringatan.

Di akhir zaman ini juga, kita sudah digetarkan berkali-kali kejadian fenomena alam, seperti tsunami, puting beliung, ribut petir, bah kuning yang pernah melanda Malaysia di Kelatan 2014 cukup menginsafkan. Bahkan apa yang pernah terjadi pada kaum para anbiya, kini sudah berlaku. Adakah ianya teguran dan ujian Allah ta’ala kepada manusia kerana kemaksiatan bermaharaja lela?

Walaupun ianya telah menjadi pusat lawatan dan seni binaannya dipelihara agar tidak rosak, pada sesiapa berkesempatan berkunjung tanamkan dalam hasrat rasa takut ketika melalui kawasan-kawasan yang pernah diazab. Kemudian tidak mengambil masa yang panjang berlegar-legar ditempat tersebut. Sebaliknya, bergegas pergi setelah melaksanakan hajat kerana ia bukanlah tempat bagi manusia bersuka ria. Terdapat banyak lagi tamsilan penulis beri. Jika hendak mengetahui lebih mendalam dapatkan buku tersebut di kedai berhampiran atau melalui laman web terbitan buku mustread sdn.bhd pada harga RM 18 SM, RM 21 SS.

Pada rakan-rakan pembaca juga, saya menyarankan untuk banyakkan bahan bacaan kajian mengenai kisah yang ada didalam buku ini. Supaya kita dapat ilmu lebih banyak dan shahih daripada para penulis lain-lain.

Selamat membaca !


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca