Ulasan Buku : Muslimah Hari Esok

Buku yang diterbitkan pada 2002 dengan kerjasama antara Persatuan Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Badan Komunikasi dab Bahasa Arab (BKBA) ini menghimpunkan beberapa teguran dan nasihat Dr Yusuf Al-Qardhawi kepada para muslimah.

Ketika ditanya kepada Dr Yusuf Al-Qardhawi, mengapa memilih tajuk ‘Muslimah Hari Esok’?

Beliau menjawab kerana segelintir muslimah hari ini memiliki konflik ideologi dan identiti. Pemikiran mereka terarah kepada dua ideologi yang salah.

Pertama, ideologi yang cenderung ke arah mengongkong dan menyekat kebebasan wanita Islam.

Kedua, ideologi yang keterlaluan dalam membuka pintu kebebasan pada wanita sehingga menghalalkan segala tindakan dan mengadaptasi budaya barat dan terus tenggelam dalam arus taklid ikutan membabi buta.

Jelasnya, kedua-dua fahaman ini ialah kefahaman yang jauh terpesong dari apa yang telah dibawa oleh Islam.

Dr Yusuf Al-Qardhawi turut menegur sebahagian muslimat yang cenderung berkiblatkan budaya Barat, sedangkan masyarakat Barat sendiri sudah mula mengecam tamadun sendiri dengan menyatakan bahawasanya tamadun ini akan mengalami kemusnahan.

Mengapa mereka mengkritik tamadun yang telah mereka guna pakai selama ini?

Kerana tamadun ini telah mencapai kemuncak tertinggi dari sudut kemajuan material.

Masyarakat Eropah dan Amerika mampu menjelajah angkasa, menggunakan bom nuklear dan menjejakkan kaki ke bulan. Namun jika dinilai dari sudut pembangunan akhlak dan nilai-nilai kemanusiaan, mereka masih tidak mampu mengecap nikmat ketenangan malah sentiasa hidup dalam keadaan gelisah dan tidak tenteram.

Nilai kemanusiaan, hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak serta hubungan sesama jiran ternafi dari mereka.

Di dalam buku ini, beliau turut mengambil sirah beberapa tokoh muslimat terdahulu yang terbentuk dengan acuan Islam yang sebenar seperti Saidatina ‘Aaisyah yang bijaksana dalam penguasaan ilmu, Saidatina Fatimah sebagai anak yang taat dan isteri yang bijak dalam menguruskan rumah tangga serta hebatnya keislaman Al-Khansa Binti Amr yang turut digelar ibunda para syuhada setelah berjaya menempatkan keempat-empat anaknya syahid di medan tempur.

Dr Yusuf Al-Qardhawi menulis dengan penuh pengharapan agar suatu hari nanti para muslimah kembali percaya kepada agama dan keperibadian dirinya yakin dengan risalah dakwah yang dipikul dan tradisi yang diwarisinya.

Serta kembali berkata, “Aku bukan wanita Eropah bukan juga Amerika ataupun Rusia. Aku adalah seorang muslimah. Seorang muslimah yang lahir dari sebaik-baik umat.”

Keyakinan dan kepercayaan ini mestilah kembali bertakhta di hati mereka perkara tersebut sama sekali tidak akan menghalangnya dari meneruskan kehidupan dan menikmati hak-hak yang sempurna.

Kata Dr Yusuf Al-Qardhawi di hujung kalamnya,

Kita mahu wanita yang memiliki iman yang teguh, pekerti yang luhur, kefahaman yang utuh, menggenggam risalah dakwah dengan kukuh dan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas. Inilah ciri-ciri muslimah hari esok.

Kita mahu mereka menyemarakkan kebangkitan Islam yang hakiki, bukan semangat kebangkitan wanita berinspirasikan barat yang menular meracuni negara-negara Islam masa kini.

Kita mahu mengakhiri zaman ini. Mula melangkah ke era baru dan membuka lembaran baru bagi wanita muslimah

Kita mahu kembali kepada kebangkitan yang hakiki dan bertapak atas asas-asas Islam yang kukuh dan ajaran-ajaran yang sebenar sejajar dengan apa yang termaktub di dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, menabur kebajikan dan menegakkan keadilan buat kaum wanita.

#MembinaLegasiIqra’


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Siti Nor Afifah Abdul Razak
Siti Nor Afifah Abdul Razak
Articles: 8