Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Ghirah; Cemburu Karena Allah

Ulasan Buku : Ghirah; Cemburu Karena Allah

“Apabila ghirah telah tak ada lagi, ucapkanlah takbir empat kali ke dalam tubuh umat Islam itu. Kocongkan kain kafannya, lalu masukkan ke dalam keranda dan hantarkan ke kuburan.” – Hamka, Ghirah; Cemburu  Karena Allah, m/s 14

Tajam & tepat. Begitulah sifat perumpamaan yang diberikan Hamka dalam memberi penekanan tentang betapa pentingnya ghirah dalam kitaran kehidupan seorang muslim. Jika sudah tidak ada ghirah pada seseorang individu muslim, ia seperti sudah tidak ada guna lagi untuk hidup di muka bumi Tuhan ini.

 

Tentang Buku

Ghirah; Cemburu Karena Allah, sebuah buku yang sangat penting untuk dibaca dan dihadam oleh setiap individu muslim, terutamanya pada era globalisasi moden yang telah membawa kesan kepada terhakisnya sifat ghirah pada umat Islam dengan penyebaran dan penyerapan budaya dan pemikiran  yang tercela dengan sangat pantas.  Dalam buku ini terdapat dua  istilah penting yang diperkenalkan oleh penulis iaitu Ghirah dan juga siri. Ghirah membawa erti rasa cemburu manakala siri pula membawa erti rasa malu. Kedua-dua sifat ini menjadi topik perbincangan utama yang sering diulang sebut pada hampir setiap bab yang dibincangkan.

Buku ini pada asalnya merupakan kumpulan daripada beberapa penulisan dan ceramah Buya Hamka. Hasil daripada pengumpulan tersebut, maka terbitlah sebuah buku yang berjudul Ghirah dan Tantangan terhadap Islam yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1982. Dengan mengekalkan isi yang sama, buku tersebut kemudiannya diterbitkan semula dengan beberapa penambahbaikan dan diberi judul Ghirah; Cemburu Karena Allah oleh penerbit Gema Insani.

Dicetak pada 154 halaman, isi dalam buku ini telah dibahagikan kepada lapan bab yang membincangkan secara detail tentang ghirah dan siri serta  kesan kehilangan dua sifat tersebut. Sudi untuk saya selitkan di sini sorotan tulisan Hamka tentang sifat ghirah. Kata beliau,

“Sifat itu dimiliki oleh seluruh suku-suku bangsa kita. Orang Melayu terkenal dengan “amok”nya apabila malunya belum juga tertebus. Apabila malunya telah ditebusnya, ia datang kepada polisi menyerahkan diriya dan bersedia menjalani hukuman apapun yang dijatuhkan.

 Oleh itu , anak-anak perempuan merasakan dirinya dilindungi. Di Minangkabau, anak-anak muda tidur di surau menjaga kampung. Seorang pemuda yang masih tidur di rumah ibu sangat dipandang janggal. Tujuan utamanya adalah menjaga anak-anak gadis dalam kampung agar jangan sampai ada “pagar makan tanaman”.” – Hamka, Ghirah; Cemburu  Karena Allah, m/s 3

Tentang Ghirah

Ghirah ini merupakan sifat asli yang telah tertanam dalam rumpun Melayu. Sifat ini sangat penting dalam kehidupan, tidak sahaja bertujuan menyelamatkan kehormatan diri individu yang mengamalkannya,  bahkan sifat ini juga menyelamatkan kehormatan diri orang lain. Jika kita turun kepada realiti hidup berkeluarga dan masyarakat, kita akan dapati bahawa sifat ini pada asasnya telah wujud tanpa kita sedar. Seperti contoh mudah yang sering disebut oleh penulis, bilamana seorang perempuan diganggu oleh orang lain, maka abangnya, ayahnya atau suaminya yang memiliki sifat ghirah ini akan terasa bertanggungjawab dalam melindungi perempuan tersebut. Sehinggakan ada yang sanggup bergadai harta dan nyawa dalam memberi perlindungan terhadap orang yang berada dibawah jagaannya supaya tidak semudah-mudah diganggu, dipergunakan atau juga dirosakkan oleh orang lain.

Namun begitu sifat ghirah ini semakin hari semakin terhakis oleh pengaruh barat tanpa kita sedar. Pemikiran yang dibawa adalah kebebasan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Barat menganggap bahawa wujudnya ghirah ini telah menyebabkan anak perempuan terlalu dilindungi atau juga dikongkong oleh ibu bapa. Kata Hamka dalam menjelaskan keadaan dahulu sebelum pengaruh barat,

“Lima puluh tahun yang lalu orang takut memasukkan anak perempuannya ke sekolah. Ia takut anak tersebut akan pandai menulis surat cinta kepada orang yang dicintainya sebab pada zaman  itu orang tualah yang memikirkan siapa yang akan menjadi jodoh anak perempuannya”. Hamka, Ghirah; Cemburu  Karena Allah, m/s 5

Pengaruh barat ini telah disebarkan banyak melalui medium utamanya iaitu filem-filem yang memaparkan adegan-adegan tercela oleh mereka yang tidak mempunyai ikatan hubungan yang sah bahkan ia pula dilakukan secara terbuka di tempat awam. Pada mulanya akan terasa segan melihat adegan tersebut, namun lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan melihat hal kotor seperti demikian yang akhirnya membawa kepada tindakan untuk meniru perbuatan yang sama. Dari situ sifat ghirah mula terhakis sehinggakan terbentuk pula pemikiran dalam kalangan anak muda iaitu international minded yang memperkenalkan cara pergaulan yang bertaraf internasional. Anak muda harus pandai menari, pandai berlapang dada dalam pergaulan yang terlarang, dan jangan suka cemburu. Anak perempuan harus dibebaskan untuk berdua-duaan dengan teman lelakinya. Isteri pula boleh menerima teman lelakinya sebagai tetamu meskipun suaminya tidak ada di rumah. Rosak ! Ya, kehilangan sifat ghirah dalam individu memberi kerosakan yang sangat besar terhadap institusi kekeluargaan dan masyarakat muslim.

 

Tentang Siri

Disamping bermaksud malu, siri juga diertikan dengan nilai dan harga diri seseorang insan. Memiliki siri menjadikan seseorang itu tahu akan posisi dirinya dalam masyarakat, tidak menghinakan dirinya dan tidak juga menghina orang lain. Dalam menerangkan tentang siri juga, Hamka mengetengahkan perangai syaja’ah yang menjadi asas kepada sifat siri. Syaja’ah bermaksud berani kerana yakin berada di pihak yang benar.  Kata Hamka,

“..Ia tidak perlu bersuara keras memaki-maki, menyentak badik, atau mengancam orang dengan badik untuk mempertahankan kebenarannya. Biarpun ia mati dibunuh, yang mati hanyalah diri tetapi kebenaran itu tidak akan mati..” m/s 135

Dalam memberi penjelasan detail kepada syaja’ah pula, Hamka menerangkan bahawa ,

“Perangai syaja’ah itu adalah pertengahan antara dua perangai yang tercela. Pertama, jubun (pengecut), yakni tidak ada keberanian buat menyebut yang benar.  Kedua Tahawwur (berani babi).

Jubun ialah orang yang sudah yakin bahawa ia di pihak yang benar, tetapi takut menyebut kebenaran itu. Ia tidak mempunyai keberanian moral sampai di deritanya saja segala macam kehinaan dan segala macam penghinaan.

Tahawwur ialah orang yang telah tahu bahawa ia salah, tetapi ia tahan bermati-matian mengatakan ada di pihak yang benar, dan tidak mau mendengar pertimbangan orang lain, yang benar ia saja, orang lain semua salah”  m/s 135

Kehilangan sifat malu dalam diri seseorang muslim akan merosakkan keperibadiannya dan juga memberi kesan buruk terhadap orang lain. Lelaki yang mempunyai sifat malu akan menghormati, memelihara dan menjaga perempuan dengan baik manakala perempuan yang mempunyai sifat malu akan menjaga maruah dan harga dirinya daripada dirosakkan oleh orang lain.

 

Sisi pandang peribadi

Sifat Ghirah ini sangat perlu difahami oleh semua individu di setiap peringkat. Kehilangan sifat ghirah tidak hanya memberi kesan buruk kepada individu bahkan juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Individu yang hilang sifat ghirah tidak akan mengambil endah akan kerosakan atau kemungkaran yang dilihatnya kerana dia hanya mementingkan dirinya semata-mata, asal boleh makan dan tidur cukup untuk hidup. Apa sahaja kerosakan yang terjadi terhadap orang lain tidak lagi diambil peduli dan tidak lagi menjadi perkara yang harus diperbetulkan dan dititikberatkan.

Keluarga yang kehilangan sifat ghirah pula akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam pengurusan, hak dan juga kehormatan diri antara suami dan isteri. Suami yang tidak mempunyai sifat ghirah boleh dikategorikan sebagai lelaki dayus yang tidak mengambil endah terhadap apa yang berlaku kepada isterinya bahkan sehingga satu tahap hanya mengikut segala telunjuk isterinya, sedang sifat suami itu harus membimbing, bukan sepanjang masa dibimbing. Isteri yang kehilangan sifat ghirah pula akan membiarkan suaminya berpeleseran dengan perempuan lain yang bukan mahramnya, tidak menegur dan tidak juga mengambil berat akan hak-hak suaminya.

Masyarakat yang kehilangan sifat ghirah pula akan mengabaikan kewajipan dan kebajikan rukun tetangga. Masing masing hanya memikirkan tentang keluarga sendiri, tidak ada rasa untuk menjaga kebajikan orang lain, membantu yang susah dan meringankan bebanan orang yang lemah. Kerosakan dalam masyarakat harus ditangani dengan segera secara bersama, tidak harus dibiarkan dan tidak juga hanya berlepas tangan.

Kehilangan ghirah juga tidak kurangnya memberi kesan kepada negara. Rakyat yang tidak memiliki sifat ghirah akan membiarkan pemimpin mereka berbuat apa sahaja terhadap urus tadbir dan juga harta negara. Pemimpin yang tidak mempunyai sifat ghirah pula hanya akan dipergunakan oleh pihak lain sehingga rosak negara dan tergadai maruah agama dan bangsa.

 

Saranan

Buku ini saya kira sangat penting untuk diwacanakan semula dan diberi nafas baru dalam mengembalikan sifat ghirah dan siri yang kian hari kian terhakis oleh budaya songsang. Ibu bapa terutamanya harus jelas dengan kepentingan sifat ghirah dan siri dalam memberi pendidikan kepada anak-anak agar tidak mudah dirosakkan oleh budaya buruk dan pengaruh luar yang kian hari kian merebak dengan sangat pantas melalui media massa.

Tidak cukup dengan hanya ulasan saya, anda wajib memiliki buku ini dan cuba untuk memahami disamping  memberi kefahaman terhadap orang lain tentang bagaimana pula Ghazwul Fikri atau serangan pemikiran yang dilancarkan oleh barat dalam menghilangkan sifat ghirah dan juga betapa pentingnya dua sifat ini dalam menjaga kehormatan diri dan juga kehormatan orang lain. Selamat membaca !

– Syafiyullah Yahya


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca